Wednesday, 8 August 2018

DURIAN BELANDA

Durian Belanda dikenali dengan nama saintifiknya annona muricata memang seakan buah durian cuma durinya tidak tajam dan jarang-jarang.Buahnya berwarna putih dan bijinya menyerupai biji ciku atau sukun.Ia boleh ditanam di halaman rumah kerana pokoknya tidak berapa besar dan cepat berbuah.Di Indonesia ia dipanggil sirsak.
 Pokok durian belanda berusia tiga tahun sudah mulai berbunga dan bakal berbuah.Diiakkan menggunakan biji atau tut atau kerata batang.

Bunga durian belanda yang masih menguntum

 Bunga dicelah-celah dahan mulai mekar.Tiga kelopaknya menguning mencantikkan suasana.

 Kelopak bunganya yang cantik dan tebal menarik minat serangga untuk mendebungakannya.
Durian belanda banyak kegunaannya.Selain buahnya yang masak dibuat jus : buahnya juga dijadikan pemakanan untuk mencegah kanser.Daun durian belanda boleh menggantikan rawatan kimoterapi dan adriamicin dalam proses melambatkan pertumbuhan sel kanser.

Buah durian belanda mengandungi fruktosa untuk memberikan tenaga dan vitamin C bagi meningkatkan daya ketahanan.

Antara Kebaikan buah durian belanda:
1. Mengandungi fruktosa untuk memberikan tenaga
2. Mengandungi vitamin C untuk meningkatkan daya ketahanan dan antioksidan
3. Mengandungi vitamin B2 untuk mencegah masalah saraf
4. Merawat buasir dan keracunan
5. Melegakan sembelit
6. Bertindak sebagai diuretik bagi rawatan edema atau kekurangan air dalam badan
7. Memberi ketenangan dan tidur lena .
8. Merawat jangkitan saluran air kencing
9. Membunuh parasit dalam badan
10.Melawan radikal bebas
11.Melegakan kesakitan
12. Merawat hipertensi

Putik durian belanda

 
  Hampir matang

 Buah durian belanda yang telah matang

Berasal dari benua Amerika,
Hidup subur di Asia Tenggara;
Masam manis sedapnya rasa,
Dibuat jus banyak khasiatnya.


Saturday, 21 July 2018

JENIS JENIS DURIAN MALAYSIA


Bagus betul maklumat dari FAMA ini. Alhamdulillah saya mendapatnya dari laman whatsapps rakan.Mungkin ia juga bagus untuk rujukan anda.

 

















Ia dikenal raja buah-buahan,
Kulit berduri bau menawan,
Rasanya enak tidak tertahan,
Itulah dia buah durian.


Thursday, 11 January 2018

MAHKOTA DEWA

Phaleria macrocarpa atau mahkota dewa dikatakan berasal dari kepulauan Papua New Gunea atau Irian Jaya Indonesia.
Buah mahkota dewa hampir masak berwarna merah hati.
Yang masak ranum berwarna merah menyala.
Buah mahkota dewa dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit  terutama penyakit kencing manis. Potong kecil-kecil isi luar yang berwarna merah dan keringkan di panas matahari.Rendam isi yang kering itu dengan air panas dan minum airnya.

 
Jangan makan buah itu mentah-mentah kerana boleh mendatangkan mudarat yakni keracunan.
 Pokok mahkota dewa tidak terlalu tinggi.Sejenis pokok renek yang ketinggian
antara satu hingga tiga meter.Mudah ditanam melalui bijinya
Dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk perubatan seperti menyembuhkan penyakit:
1. Demam Berdarah(Denggi)
2. Kanser & Tumor
3. Hati(Hepatetis)
4. Darah Tinggi(Hipertensi)
5. Stroke/Angin Ahmar
6. Penyakit Jantung
7. Kencing Manis/Diabetes
8. Ginjal/Cuci darah
9. Keputihan
10.Haid tidak lancar
11.Reumatik( Sakit Sendi)
12.Lemah Syahwat 
13.Gout & arthritis
14.Hepatitis (Radang Hati)
15.Eksim (Penyakit Kulit)
16.Penyakit Lumpuh
17.Kegemukan/obesiti
18.Batuk
19.Sesak nafas
20.Jerawat (menghaluskan kulit)


 Bunganya berwarna putih ; berbunga pada ranting pokok dengan banyaknya.

Mudah mengenalinya kerana berdaun tirus dan memanjang;mengeluarkan pucuk berdaun kembar.


Wednesday, 11 October 2017

POKOK MELAKA

Ramai cendikiawan sejarah bersetuju bahawa Melaka mendapat nama daripada pokok ini.Nama saintifik pokok melaka ialah phyllanthus emblica.Pokok ini banyak ditanam di pinggir Sungai Melaka dan berhadapan pintu Gerbang Santiago Kota A Famosa.

Oleh kerana pokok ini tumbuh rendang dan berdaun kecil: maka ia sesuai
untuk dijadikan tumbuhan lanskap (daunnya yang gugur tidak kelihatan seperti sampah)
Buahnya seakan akan buah cermai.Bila masak rasanya manis-manis kelat.
Oleh sebab itu buah ini sesuai dijadikan jeruk.
Lazimnya ia berbuah di sepanjang ranting pokok dan kelihatan dengan
banyaknya bila musim berbuah.
Dikatakan buah melaka ini mempunyai nilai perubatan
iaitu mengurangkan kadar gula dan kolesterol dalam darah dan
terkenal dalam perubatan Ayurveda.

Jeruk buah melaka enak rasanya , banyak terdapat di Pasar Chaorasta Pulau Pinang.


Tuesday, 29 August 2017

NAMNAM

Buah namnam adalah salah satu buah nadir yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Nama saintifiknya ialah Cynometra cauliflora kerana merujuk pada bunga dan buahnya yang muncul di batang.
Buah yang masam ini sesuai dimakan terus, mata yang mengantuk menjadi segar.Digemari oleh masyarakat Melayu kerana ia boleh dimakan bersama sambal kicap atau kuah rojak buah.Sesuai juga dijadikan halwa yakni merendamnya pada larutan gula yang pekat (jika buah terlalu banyak buah yang masak untuk dimakan terus dan mengelakkan pembaziran ).

 Buah ini bersaiz sederhana sekitar satu genggaman tetapi leper.Bijinya besar dan leper dan dari situlah ia dibiakkan.

 Poko namnam boleh membesar hingga tiga meter.Walaubagaimana pun biasanya pohonnya akan dicantas rendang sekitar dua meter untuk memudahkan memetik buahnya.

Namnam berbunga dan berbuah di batangnya hingga mencecah tanah.Di pangkal pokok inilah semut api suka bersarang.
 

 Ada juga yang berbuah di dahan tinggi seperti ini .
Kulit yang berkedut-kedut ini menjadi identiti buah namnam dan membezakannya dari buah-buah nadir yang lain.

Buah namnam nama diberi,
Kulit berkedut itulah identiti;
Cicah kicap bercili padi,
Masam pedas menjilat jari.

Thursday, 17 August 2017

KETUM

Suatu waktu dahulu (tahun 2003) kita dikejutkan dengan penemuan ketum di mana air ketumnya dijual kepada penagih najis dadah .Air ketum ini dikatakan boleh menyebabkan peminumnya mabuk atau khayal dan mengakibatkan ketagihan. Lantaran itu beberapa penangkapan telah dilakukan oleh polis kepada penyalahgunaan ketum ini.Kes penangkapan paling banyak ialah di negeri Kedah. Nama saintifik bagi pokok ketum ialah mitragyna speciosa

Beginilah rupa daun ketum dari jarak dekat.Dalam masyarakat Melayu ketum ini digunakan untuk memulih tenaga kepada ibu-ibu selepas bersalin dengan meminum air rebusan ketum pada kadar yang diperlukan sahaja.Ia mengandungi mitraginin. Beberapa kajian saintifik mendapati ketum berpotensi menggantikan morfein yang berfungsi sebagai ubat penahan sakit.

Dari jauh pokok ketum ini seolah-olah pokok bunya cempaka.
Ini disebabkan terdapat kudup menyelaputi batang di antara tangkai dengan tangkai yang berikutnya.


Mengikut penjelasan Ketua Polis Negara : Tan Sri Khalid Abu Bakar tiada kesalahan dalam undang-undang Malaysia bagi orang yang menanam pokok ketum (rujuk youtube di bawah). Yang menjadi kesalahan adalah memiliki daun , memproses dan menjual daun atau air ketum.Walaubagaimana pun dinasihatkan agar kita tidak menanam pokok ketum kerana ditakuti ada individu yang menyalahgunakannya.

Rujukan video: