Thursday, 16 May 2013

TAPAI PULUT

Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai jenis makanan antaranya ialah tapai pulut.Mudah membuat tapai pulut. Anda boleh cuba sendiri dan tak perlu membeli.Sebelum itu sediakan daun pisang yang secukupnya untuk membungkus,beras pulut ,lidi kelapa dan ragi.

 Tidak semua daun pisang sesuai untuk membungkus. Carilah daun pisang awak,pisang abu,pisang rastali,pisang emas atau daun pisang raja.Bagi sekilo beras pulut anda memerlukan dua setengah pelepah daun pisang.

 Potong daun pisang dengan ukuran lebar 10-12 cm. Lap daun di kedua-dua permukaan dengan tuala atau kain yang bersih.

 Pulut yang telah dikukus.Kukus sebanyak dua kali supaya ia masak rata.Sebelum dikukus ,basuh bersih dan rendam lebih kurang 4-6 jam supaya kembang. Berhati-hati, jangan sampai bekas yang digunakan berbau minyak atau bergaram.Cuci bekas dengan sabun dan bilas (kalau boleh,semua bekas disiram dulu dengan air panas)

Ratakan pulut di atas talam dan biarkan sejuk sebelum diragikan

Ragi yang terpilih sahaja sesuai untuk membuat tapai.Jemur dahulu supaya ragi itu aktif semasa proses penapaian.Biasanya  sebiji ragi (bergarispusat 3-4 cm) harganya RM 1.00.Anda hanya memerlukan sebiji ragi bagi setiap dua kilo beras pulut yang digunakan.

Gesekkan ragi pada ayak logam (pastikan ayak telah dicuci bersih dari unsur minyak atau garam) dan halakan ke semua bahagian pulut supaya rata terkena ragi.


Taburkan sedikit gula pada pulut yang telah diragikan.Gula yang sedikit itu adalah sebagai pemankin supaya proses penapaian cepat berlaku dan tapai akan mengeluarkan air manisannya.

Lidi kelapa yang telah dipotong runcing untuk membungkus

 Cara membungkus: Letakkan sesudu makan pulut yang telah diragi

Lipat bahagian kanan

Lipat bahagian kiri

Sisipkan lidi kelapa di bahagian atas


Potong bahagian atas bungkusan supaya kelihatan kemas

Simpan dalam bekas dan tutup rapat. Biarkan selama 36 jam sebelum dimakan.Walaupun tapai mempunyai rasa yang sangat manis(tidak sesuai bagi penghidap kencing manis) namun ia mengandungi vitamin B yang baik untuk kesihatan.Makanlah ala kadar sebagai makanan pencuci mulut .Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment